Industri seni Sabah perlu diberi perhatian!
23rd January, 2011 ( sumber d NST )
Peluang, dana dan kerjasama daripada semua pihak perlu diberi perhatian dalam usaha mengetegahkan bakat penggiat seni di sabah kepada umum seterusnya memartabatkan industri seni Sabah.
Kenyataan ini diluahkan oleh pelakon, penari dan pereka tari Sabah yang semakin dikenali di Malaysia ekoran bakat besar yang dimilikinya, Ray Redzuan Awang atau lebih mesra dengan panggilan Ray.
Berbekalkan pengalaman selama hampir 10 tahun di perantauan, Ray menyifatkan industri hiburan Sabah agak suram berikutan kekangan-kekangan yang timbul sehingga membantutkan penggiat seni Sabah daripada menonjolkan bakat mereka.
“Sabah mempunyai penggiat seni yang berbakat besar dan berdaya saing di pentas nasional. Namun selain Sabahan hanya sebilangan kecil saja yang mengetahui akan kelebihan mereka berikutan kurangnya bakat penggiat seni dipertontonkan kepada umum,” luahnya kepada Hiburan
NST baru-baru ini.
Sama seperti Tony Francis Gitom, Ray tetap berharap agar slot khas untuk rancangan Sabah dapat disediakan bagi membolehkan penggiat seni Sabah memartabatkan lagi hasil seni untuk tatapan generasi masa hadapan walaupun menyedari kerajaan tidak bercadang menyediakan saluran siaran TV khas bagi Sabah dan Sarawak sebagaimana yang dikatakan oleh Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang bagi menjawab persoalan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Mojilip Bumburing, yang ingin tahu sama ada kerajaan akan menyediakan saluran siaran radio atau TV khas bagi Sabah dan Sarawak, sedangkan pihak Astro sudah pun menyediakan saluran khas untuk kedua-dua negeri itu.
“Bayangkan jika Sabah diberikan slot khas… bukankah hal ini akan jadi platform kepada penggiat seni untuk mempertontonkan produk Sabah ke seluruh Negara? Malah saya yakin penggiat seni Sabah dapat membuktikan kemampuan mereka jika diberi ruang berkarya dan mengembangkan hasil karya,” ujarnya sambil berharap agar drama yang memaparkan aspek sejarah di Sabah dapat diketegahkan suatu masa nanti.
Selain itu, Ray turut menekankan kelebihan Sabah yang sememangnya kaya dengan pusat peranginan, kebudayaan, dan sejarah perlu diberi perhatian oleh syarikat produksi dari luar dan juga tempatan.
“Kelebihan yang ada pada Sabah harus ditonjolkan kerana perkara ini secara tak langsung mampu menjana ekonomi Negara. Penceritaan drama harus dipelbagaikan dan tidak memfokuskan kepada satu aspek saja iaitu drama cinta,” jelas jejaka yang menggemari irama tradisional, jazz, latin dan hip hop ini.
Ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Kebudayaan, Pelancongan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun, berhubung seruannya terhadap penggiat seni Sabah untuk meningkatkan kualiti produk, Ray mengakui sememangnya kualiti adalah penting untuk menarik perhatian stesen penyiaran di Malaysia.
Bagaimanapun Ray berpendapat, untuk meningkatkan kualiti, dana adalah amat penting bagi membantu penggiat seni menghasilkan produk yang berkualiti.
Justeru, Ray menyimpulkan bahawasanya semua pihak yang berkaitan dalam bidang hiburan terutamanya kerajaan memainkan peranan bagi memastikan industri hiburan Sabah terus berkembang pesat.
Bercakap mengenai aspek kebudayaan, Ray yang sememangnya memiliki bakat dan pengalaman yang banyak dalam bidang ini berharap agar sebuah pertubuhan khas yang menjaga dan memantau segala aspek kesenian dapat diwujudkan bagi memastikan kebudayaan tradisional Sabah kekal terpelihara.
Menurutnya, setelah melebarkan sayap ke KL dalam bidang seni sejak tahun 2001, terlalu banyak perkara yang didapatinya kurang mendapat perhatian serius terutamanya dalam aspek pemakaian pakaian tradisional Sabah.
“Banyak sambutan perayaan yang melibatkan orang Semenanjung memakai pakaian tradisi Sabah dan bagi saya itu adalah perkara yang baik tambahan pula mereka juga akan mewakili Negara dalam aktiviti kebudayaan yang secara tidak langsung memperkenalkan pakaian etnik tradisional Sabah. Namun apa yang saya kesalkan ialah cara pakaian itu dipakai dan corak pakaian tradisi itu kadangkala tidak sama seperti yang asli. Hal ini mungkin nampak remeh namun jika dibiarkan ia akan mendatangkan kesan negative kepada kebudayaan tradisional Sabah,” jelasnya yang pernah memanjangkan perkara itu kepada pihak-pihak tertentu namun tidak mendapat respon yang sewajarnya.
Menyedari keaslian pakaian tradisional Sabah harus diperjuangkan, Ray berharap agar perkara itu diberi perhatian sewajarnya oleh pihak yang mempunyai autoriti.
“Kalau etnik kreatif mungkin lain ceritalah… Tapi kalau boleh perjuangkan budaya tradisional Sabah agar masyarakat seluruh dunia tahu akan keaslian tradisi kita,” jelasnya sambil memberikan contoh Sarawak dan Johor sebagai negeri yang begitu mempertahankan budaya tradisional mereka.
Menurutnya lagi, Sabah yang menyambut Festival Sabah (Sabah Fest) setiap tahun harus menggunakan peluang itu sebaik mungkin dengan mengetengahkan kepelbagaian etnik di Sabah kepada umum.
Kajian terdahulu mewartakan negeri Sabah mempunyai 32 etnik dan daripada jumlah itu dikatakan terdapat lebih daripada 60 subetnik dalam pelbagai diealek bahasa. Ada juga pendapat yang mengatakan Sabah mempunyai 72 etnik. Namun kajian terkini Lembaga Kebudayaan Sabah yang dibentangkan dalam Bengkel Kenegaraan dan Perpaduan Etnik Sabah di Kem Bina Negara, Kundasang pada 10-12 Mei 2009 menetapkan Sabah memiliki 35 etnik dan 215 subetnik.
“Berbekalkan kelebihan yang ada, Sabah pasti mampu menarik perhatian ramai pelancong. Tonjolkan ciri kebudayaan tradisional kesemua etnik di Sabah dan bukannya hanya memfokuskan kepada kaum etnik terbesar saja,” ujarnya yang turut meyakini Sabah mampu tersenarai dalam Malaysian Book of Records (MBR) menerusi aspek kebudayaan.
Ray yang berbangga lahir di negeri di bawah bayu menanamkan azam yang tinggi untuk berkhidmat di Sabah dan berjuang bersama penggiat seni yang lain dalam usaha memartabatkan industri hiburan Sabah.
“Walaupun saya berada di KL, saya tetap berjuang untuk melakukan yang terbaik bukan saja untuk diri saya dan keluarga tetapi juga untuk mengharumkan nama Sabah. Saya yakin ramai artis dari Sabah yang mencipta nama di KL juga mempunya niat yang sama. Kami pergi ke Semenanjung bukan kerana lupa akan asal usul sendiri, tetapi sebagai langkah untuk membuka mata orang luar terhadap bakat yang dimiliki oleh orang Sabah,” ujarnya lagi.
Biodata
NAMA PENUH: Ray Redzuan B. Awang
TARIKH LAHIR: 7 Julai 1979
BANGSA: Suluk/Sino Kadazan
AGAMA: Islam
STATUS PERKAHWINAN: Bujang
ADIK-BERADIK: 5 orang (anak kedua)
HOBI: Menyanyi, bersukan, menonton wayang
Aku Tulis, Aku Kongsi, Aku Cerita