Subra: Majikan setuju bayar caruman KWSP dan Perkeso untuk pekerja separuh masa
19th August, 2010 BAHAU: Menteri Sumber Manusia Datuk S. Subramaniam berkata majikan tiada masalah untuk membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi pekerja separuh masa.Beliau berkata kebanyakan majikan yang ditemuinya tiada bantahan dengan perkara itu termasuk Persatuan Majikan-majikan Malaysia.
“Pentakrifan siapa pekerja separuh masa ini tidak sepatutnya menyebabkan majikan keliru, tidak ada alasan untuk majikan mengelak diri dari membuat caruman ke atas mereka,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan cermin mata untuk pelajar miskin di Dewan Orang Ramai Kampung Indah di sini kelmarin.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai reaksi majikan terhadap langkah itu memandangkan caruman KWSP dan Perkeso itu akan meningkatkan kos operasi mereka.
Berkuat kuasa 1 Okt ini, kerajaan akan menguatkuasakan Peraturan-Peraturan Kerja (Pekerja Separa Masa) 2010 yang bakal memberi faedah kepada orang ramai yang bekerja separuh masa termasuk caruman KWSP dan Perkeso.
Beliau berkata pekerja separuh masa dikelaskan sebagai mereka yang bekerja di antara 30 hingga 70 peratus masanya daripada pekerja sepenuh masa termasuk yang hanya bekerja pada hujung minggu.
“Pekerja separuh masa mungkin bekerja selama 2.5 jam atau lima jam sehari dan kiraan caruman serta sumbangan majikan ke dalam KWSP dan Perkeso akan dibuat mengikut tempoh jam mereka bekerja,” katanya dan menurutnya penakrifan pekerja separuh masa sudah wujud dalam Akta Kerja 1955.
Sementara itu, mengenai kejadian rusuhan para pekerja warga asing di sebuah kilang di Tebrau, Johor pada Ahad lalu selepas mendakwa kematian seorang rakan mereka disebabkan kelewatan majikan menhantarnya ke hospital, Subramaniam berkata laporan mengenai kejadian itu sudah diterima dan sedang disiasat.
“Kita sedang menyiasat sama ada pekerja Nepal itu sendiri yang enggan dirawat sehingga menyebabkan beliau akhirnya mati sakit atau pun majikan sendiri yang tidak mahu menghantar pekerja itu mendapat rawatan,” katanya.
Katanya jika terbukti pihak pengurusan gagal menyediakan akses rawatan perubatan ke atas 5,000 orang pekerjanya yang terdiri dari warganegara asing, mereka akan dikenakan tindakan mengikut Akta Kerja.
0 comments:
Post a Comment
Bace dah, Gelak dah, Nangeh da? Hmm KOMEN LEEE.. :P